Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Sukan Olimpik 2020: Alia tidak rela tersilap langkah kumpul mata kelayakan

alia-shazana.jpg
Kegagalan ke final Kejohanan Menembak Piala Dunia New Delhi 2019 mahu ditebus penembak negara, Alia Sazana Azahari, dalam Piala Dunia Beijing 2019 bulan depan bagi misi mengumpul mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aksi Alia tersekat dalam pusingan kelayakan acara 25 meter pistol wanita di New Delhi, India, minggu lalu.

Namun, dia tidak terlalu kecewa kerana menganggap saingan di sana sebagai pemanas badan berikutan sudah enam bulan tidak menyertai kejohanan.

Pemegang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu bagaimanapun enggan pencapaian sama diraih dalam Piala Dunia Beijing serta Jerman bulan depan dan Mei depan, sebaliknya tidak keterlaluan untuknya menyasarkan final.

"Saya tidak mengikuti sebarang kejohanan sebelum menghadapi Piala Dunia Beijing.

"Oleh itu, saya akan cuba melakukan persiapan sebaik mungkin," katanya. 

Selain itu, penembak berusia 28 tahun berkenaan mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan kerana enggan mengulangi kesilapan gagal ke temasya Olimpik Rio 2016 ekoran kekangan persiapan.

"Sejak tiga tahun lalu lagi, saya membuat persiapan dengan menyertai kejohanan kecil di serata dunia.

"Saya cuba menjayakannya hasil bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih," ujarnya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video