Atlet kebangsaan yang bakal beraksi dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia semakin merasai bahang temasya berkenaan selepas terlibat dengan Larian Baton Ratu di Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Tinggal kurang dari enam bulan sahaja lagi sebelum Sukan Komanwel 2018 membuka tirai di Gold Coast.

Seperti tradisi sebelumnya, tuan rumah temasya akan menganjurkan Larian Baton Ratu untuk menjelajah setiap negara Komanwel.

Malaysia merupakan perhentian ke-54 dalam siri jelajah yang meliputi jarak sejauh 230,000 kilometer, bermula di London, England menuju ke Gold Coast.

Sudah pasti beberapa atlet negara sudah mula merencanakan perancangan untuk tampil dengan aksi lebih bertenaga di Gold Coast nanti.

"Saya sangat teruja kerana sudah merasai aura Sukan Komanwel. Saya begitu gembira kerana mengambil bahagian dalam larian ini," kata gimnas negara, Farah Ann Abdul
Hadi.

"Saya sangat gembira kerana dapat menyertai larian baton untuk Sukan Komanwel 2018," kata penembak negara, Ezuan Nasir Khan.

"Kami berkumpul di sini untuk menyokong aktiviti larian ini," kata pemain ping-pong para negara, Azwar Abu Bakar.

Selain atlet kebangsaan, lebih 300 peserta mengambil bahagian yang turut merangkumi Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) di samping beberapa bekas atlet negara.

Larian ini juga disertai beberapa personaliti Astro Arena, antaranya Zainal Abidin Rawop dan Hasnizam Uzir.

Baton ini akan melengkapkan siri jelajah ke Asia dengan kunjungan ke Brunei Darussalam dan Singapura sebelum dibawa ke benua Oceania.

Sementara itu, Malaysia dijangka menghantar jumlah kontinjen terbesar bagi temasya Komanwel dengan 98 slot sudah pun disahkan setakat ini.

"Dalam persiapan untuk ke Sukan Komwanwel, kami bekerjasama dengan MSN, ISN dan Program Podium. Ia adalah kerjasama untuk projek jangka panjang, termasuk mengenal pasti atlet terbaik negara," kata Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How.