Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, menyifatkan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia sebagai satu penghormatan besar buat negara serta bukti keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Menurutnya, kerjasama unik yang membabitkan Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia membuka lembaran baharu dalam sejarah sukan permotoran negara.
Azhan turut merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, atas sokongan penuh yang diberikan sehingga membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.
Dia berkata sokongan daripada kepimpinan negara menjadi faktor utama yang merealisasikan kerjasama bersejarah tersebut, selain mengukuhkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia mengendalikan acara sukan bertaraf global.
SIC, katanya, berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerajaan Bahrain dan Litar Antarabangsa Bahrain dalam menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang.
Azhan memberi jaminan bahawa SIC komited untuk memastikan penganjuran perlumbaan itu berlangsung dengan standard tertinggi, berpaksikan profesionalisme serta layanan mesra rakyat Malaysia.
Azhan turut menegaskan bahawa kepercayaan yang diberikan kepada SIC amat dihargai dan akan diterjemahkan melalui penganjuran yang memenuhi piawaian Formula 1.
Mengimbau sejarah, Litar Antarabangsa Sepang pernah menjadi antara venue ikonik Formula 1 selama hampir dua dekad, menyaksikan pelbagai perlumbaan dramatik, persaingan legenda dan menjadi lokasi yang mencetuskan minat jutaan peminat terhadap sukan itu.
Walaupun Formula 1 tidak lagi berlumba di Sepang sejak beberapa tahun lalu, semangat sukan tersebut tidak pernah pudar.
Sebagai litar berstatus FIA Grade 1, SIC terus melaksanakan pelbagai pelaburan dalam aspek kemudahan, pembangunan tenaga kerja dan keupayaan operasi bagi memastikan litar itu sentiasa bersedia memenuhi piawaian tertinggi yang ditetapkan Formula 1.
Menurut Azhan, impak kerjasama itu bukan sekadar tertumpu kepada perlumbaan semata-mata.
Sebaliknya, ia turut membuka peluang untuk mempromosikan Malaysia di pentas antarabangsa, memperkukuhkan sektor pelancongan, merancakkan aktiviti ekonomi serta memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat dan penggiat sukan permotoran.
Azhan turut mengalu-alukan kepulangan Formula 1 ke Sepang, sambil menyifatkan peluang untuk kembali menjadi sebahagian daripada keluarga Formula 1 sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia.
“Selamat kembali ke Sepang. Kami berbesar hati kerana litar ikonik ini sekali lagi berpeluang menjadi tuan rumah Formula 1 dan memainkan peranan dalam mencipta satu lagi babak bersejarah dalam sukan permotoran dunia,” katanya.