BERBASIKAL
Sukan Komanwel Birmingham: Shah Firdaus tidak pulang tangan kosong
Shah Firdaus Sahrom merangkul pingat gangsa buat Malaysia dalam acara berbasikal trek keirin lelaki Sukan Komanwel Birmingham, awal pagi tadi.
Pelumba berumur 26 tahun itu melepasi garisan di belakang juara, Nicholas Paul, dengan berselisih 0.424s diekori Jack Carlin (0.018s) di trek Lee Valley VeloPark itu.
Dia kini menyamai pencapaian jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang, di Glasgow pada 2014 sementara Josiah Ng kekal sebagai pelumba pertama dan satu-satunya pelumba berbasikal Malaysia yang memenangi emas Sukan Komanwel apabila muncul di kedudukan teratas pada 2010.
Iklan
Pencapaian tempat ketiganya juga memastikan kontinjen berbasikal negara tidak pulang dengan tangan kosong, tidak seperti di Gold Coast empat tahun lalu.
Shah Firdaus mara ke final selepas menduduki tempat pertama dalam dua pusingan awal, manakala rakan sepasukan negara, Fadhli Zonis dan Ridwan Sahrom, tersingkir daripada pusingan pertama repechage.
Sehari sebelum itu, ketiga-tiga mereka hampir terlepas peluang menggondol pingat dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Must-Watch Video