SUKAN LAIN
Sukan Komanwel Birmingham: Jurulatih ragbi 7s negara sematkan prestij temasya dalam barisan muda
Ketua jurulatih ragbi 7s kebangsaan, Saizul Hafifi Md Noor, menjelaskan kekurangan aksi kompetitif menjejaskan persiapan pasukannya menuju ke Sukan Komanwel 2022 yang bermula 28 Julai ini.
Saizul, bagaimanapun, tetap positif dengan kemampuan anak buahnya meskipun dibarisi hampir 90 peratus muka baru.
"Kami tiada kejohanan kompetitif tetapi bernaib baik diberikan pelepasan awal oleh MSN (Majlis Sukan Negara) untuk ke UK (United Kingdom) dan merangka dua perlawanan persahabatan di sana.
Iklan
"Kami mungkin mengatur pertemuan dengan China -- sudah sebulan di UK -- pada 20 Julai.
"Kami juga sedang berunding untuk mengatur dua perlawanan lagi pada 16 dan 23 Julai," katanya.
Skuad kebangsaan dijangka berlepas ke Birmingham Sabtu ini dan memulakan saingan berdepan juara dunia, Afrika Selatan, pada 29 Julai.
Hanya dua tonggak temasya 2018 dikekalkan iaitu Muhammad Azwan Zuwairi serta Amir Nasrul.
"Cabaran kami kali ini memang sukar sebab kalau ingin menyertai kejohanan, kami sepatutnya menyenaraikan pemain berpengalaman yang pernah menyertai kejohanan besar.
"Kali ini kami bermula dengan pasukan baru, hanya dua pemain yang pernah beraksi dalam Sukan Komanwel.
"Saya perlu buatkan mereka faham apakah ertinya prestij Sukan Komanwel agar mereka dapat buat yang terbaik," katanya menjelang penyertaan negara dalam temasya itu.
Must-Watch Video