SUKAN LAIN
Sukan Komanwel Birmingham: Andre Anura harungi persiapan akhir di Perancis
Pemenang pingat emas lompat kijang Sukan SEA Hanoi, Andre Anura Anuar, bakal berguru dan menyertai kejohanan di Paris, Perancis, sebagai persiapan terakhir sebelum ke Sukan Komanwel Birmingham dalam misi untuk merealisasikan misi memperbaharui catatan terbaik peribadi buat kali ketiga tahun ini.
Andre Anura memulakan musim 2022 dengan nota baik selepas melakar catatan 16.09 meter dalam Terbuka Malaysia sebelum atlet berusia berusia 23 tahun itu memperbaharui catatan Sukan SEA Hanoi, dua bulan lalu, menerusi rekod 16.51m.
Berdasarkan rekod terbaiknya, atlet kelahiran Sabah itu dijangka untuk tidak berdepan masalah melayakkan diri ke saingan akhir di Birmingham -- bermula 29 Julai ini -- dengan saingan sengit dijangka hadir daripada kontinjen India.
Iklan
"Sasaran utama saya ialah cuba mengatasi rekod 16.51m yang dilakukan di Hanoi.
"Kalau dapat atasi rekod itu, ia sudah melebihi jangkaan saya. Berdasarkan ranking Komanwel, saya dalam kalangan lapan peserta terbaik.
"India mempunyai dua peserta handal yang memiliki catatan 17.1m sementara seorang lagi 16.8m.
"Saya fokus pusingan awal terlebih dahulu, kalau boleh saya tidak mahu lompatan saya dibatalkan.
"Kalau dapat jarak yang baik tapi batal, tiada gunanya juga. Jadi teknik akan jadi jatuh nombor dua," katanya di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Must-Watch Video