SUKAN LAIN
Sukan Asia: Terjunan Wendy akan dipertaruhkan
Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, lega dengan keputusan segera berhubung status atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee, sejurus mengadakan sidang video dengan Anti-Doping Persekutuan Renang Dunia (FINA).
Kelegaan jelas tergambar di wajah Mae apabila Yan Yee hanya perlu menghabiskan baki penggantungannya sehingga 25 April depan selepas keputusan FINA menetapkan penggantungan hanya membabitkan tempoh selama lapan bulan, bermula dari 26 Ogos tahun lalu.
"Kami berasa amat lega sekali.
Iklan
"Kami perlu melupakan bab ini, seperti yang kami pesan kepada Wendy.
"Kami belajar daripada kesilapan dan perlu bangkit dengan lebih kuat," katanya.
Tegas Mae, dia akan segera berbincang dengan jurulatih terjun negara, Zhang Yukun, mengenai perancangan latihan Yan Yee demi memastikan atlet itu benar-benar bersedia menghadapi Sukan Asia, Ogos depan selepas terlepas saingan Sukan Komanwel.
Dalam masa sama, pencapaian dalam Sukan Asia juga bakal menjadi penanda aras untuk Program Podium kembali menerima Yan Yee sebagai atlet berprestasi tinggi.
"Kami mungkin menghantarnya menyertai beberapa pertandingan di peringkat Grand Prix dan kami akan menilainya dari situ.
"Apapun, dia perlu kembali berlatih dan mendapatkan rentaknya bagi membolehkannya mempamerkan aksi kompetitif dalam Sukan Asia ," katanya lagi.
Yan Yee bersama Dhabitah Sabri pernah berada di kedudukan kelima terbaik dunia bagi acara 3 meter seirama, tahun lalu.
Must-Watch Video