Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Skuad sepak takraw hilang tonggak utama

takraw-zubaidah.jpg
Satu lagi tamparan terhadap skuad sepak takraw negara menjelang Sukan Asia 2018 apabila pasukan wanita kendalian Mohd Fikri Mohd Nor kehilangan tekong merangkap kapten pasukan, Siti Nor Zubaidah Che Abd Wahab, yang mendapat panggilan rekrut Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada saat-saat akhir.

Fikri ternyata bingung dengan situasi itu memandangkan Zubaidah mendapat panggilan tersebut tatkala sudah pun melaporkan diri bersama pasukan sejak Jun lalu.

Biarpun cuba berunding untuk mendapatkan pelepasan latihan daripada PDRM, Fikri akur apabila tidak dapat menggunakan tonggak negara itu bagi kempen di Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

Beliau tiada jalan lain dengan mempersiapkan pemain baru meskipun kesuntukan masa selain melantik pemain apit kanan, Nurul Izatul Hikmah Md Zulkifli, sebagai ketua pasukan baru skuad wanita.

"Saya akui Siti Nor Zubaidah adalah nadi pasukan. 

"Kami terpaksa melupakan khidmatnya dalam Sukan Asia kali ini. 

"Kami amat terasa ketiadaannya," ujar Fikri. 

Bagi mengisi kekosongan Zubaidah di bahagian tekong, Fikri mengambil risiko dengan menyenaraikan pemain muda berusia 19 tahun, Nur Fatihah Azizul, dan biarpun tiada pengalaman beraksi dalam temasya besar, jurulatih itu menaruh keyakinan bahawa Fatihah mampu menggalas tugas diberikan.

"Saya tidak dapat lari daripada rasa gemuruh dan pada masa sama gembira. 

"Saya sememangnya mengintai tempat tetapi tidak sangka mendapat panggilan untuk menyertai Sukan Asia," kata Nur Fatihah. 

Dalam Sukan Asia nanti, skuad wanita akan bersaing dalam acara regu berpasukan dan juga quadrant di Stadium JSC Ranau, Jakarta. 
 

Advertisement

Must Watch Video