Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Sasaran emas tambah tekad Syakilla, Al-Jufferi

syakilla-karate.jpg
Daripada seorang pembawa Jalur Gemilang kepada seorang lagi yang pernah diberi penghormatan sama, mereka tidak lari daripada tanggungjawab untuk menghadirkan pingat emas buat Malaysia.

Ini menjadi azimat buat Syakilla Salni Jefri Krisnan sebagai tonggak Sukan Asia Indonesia 2018, apatah lagi dia dibelenggu skandal disiplin sebelum ini.

Masalah berat badan, komitmen ketika latihan dan kelantangannya di media sosial menyaksikan kredibiliti Syakilla sebagai pembawa bendera dipersoalkan.

"Sememangnya (kejadian itu) membuatkan mental saya terjejas. 

"Dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN), jurulatih, rakan sepasukan dan persatuan, saya kini kembali ke landasan sebenar dan secara mentalnya sudah bersedia sepenuhnya, " kata Syakilla. 

Bagaimanapun, pada waktu dia menerima Jalur Gemilang yang diserahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini, ia memadamkan segala keraguan terhadap auranya yang mampu menyumbang emas dalam acara kumite bawah 55 kilogram.

"Saya berasa sedikit tertekan, lagipun ia satu penghormatan besar untuk mengetuai kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018. 

"Secara mental dan fizikalnya, saya sudah bersedia sepenuhnya dan hanya perlu ke sana dan memberikan yang terbaik, kemudian kejayaan akan menyusul," tambahnya. 

Sementara itu, pambawa Jalur Gemilang bersama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pesilat negara, Al-Jufferi Jamari, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di Indonesia, daripada provokasi penyokong sehinggalah mutu pengadilan untuk juga menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia.

"Ini kali pertama dan mungkin kali terakhir (silat dipertandingkan) dalam Sukan Asia kerana pada masa akan datang, kita tidak tahu adakah sukan silat akan dipertandingkan lagi atau tidak. 

"Seperti mana yang diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sukan silat mesti ada pingat emas. 

"Walaupun kali pertama, saya perlu menyumbang emas. 

"Saya tiada pilihan lain kerana ini adalah tanggungjawab saya," kata Al-Jufferi. 
 

Advertisement

Must Watch Video