SUKAN LAIN
Sukan Asia: Poad mahu program berkesan gilap kuartet 4x100m
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, tidak menafikan kuartet lelaki 4x100 meter negara mampu menyerlah dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang tetapi dengan bersyarat.
Mujur, keberkesanan kuartet yang dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu menjadi dalam Sukan Komanwel 2018 apabila mara ke peringkat final dengan catatan 39.37 saat untuk menghampiri rekod kebangsaan sekalipun gagal membutirkan sebarang pingat di Gold Coast.
Poad melihat situasi itu mampu berubah lebih baik sekiranya tempoh kurang dari empat bulan ini dipenuhi dengan latihan bersama atlet yang terlibat, sama ada di Majlis Sukan Negara (MSN) mahu pun Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor.
Iklan
"Dalam acara 4x100m, hubungan kuartet bukan sekadar semasa latihan sahaja, malah sepatutnya mereka perlu mewujudkan persefahaman yang tinggi ketika berada di luar latihan.
"Saya mengharapkan pihak persatuan (Kesatuan Olahraga Malaysia) untuk membantu kami merancang program yang baik bagi menghadapi Sukan Asia," ujar jurulatih itu.
Dalam perkembangan sama, prestasi semasa menjadi keutamaan sebelum pemilihan akhir selepas Kejohanan Terbuka Malaysia, 11 hingga 13 Mei depan.
"Saya mengharapkan (kerjasama) daripada jurulatih lain untuk melepaskan Nixson dan Jonathan.
"Bagi saya, kami merancang untuk negara dan saya tiada niat untuk bersikap pilih kasih.
"Kita semua mahu mewakili Malaysia," tambahnya.
Must-Watch Video