Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Kem olahraga membara dengan peningkatan prestasi

zaidatul.jpg
Prospek pingat skuad olahraga negara dalam Sukan Asia Indonesia 2018 kini pastinya tertumpu kepada ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang dijangka mampu menamatkan kemarau 12 tahun pingat olahraga selepas mempamerkan prestasi terbaik ketika kem latihan di Jerman, baru-baru ini. 

Skuad olahraga negara meniti persiapan konsisten menjelang Sukan Asia dari 18 Ogos hingga 2 September ini dengan sandaran terbaru terarah kepada Zaidatul selain atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh, bagi acara lompat tinggi.

Walaupun sukan olahraga pada awalnya berdepan beberapa isu untuk menghantar atlet di bawah kategori B, termasuk raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, selain kebangkitan beberapa atlet lain yang sekurang-kurangnya mampu memberi sinar buat kontinjen Malaysia untuk meraih pingat selepas kempunan selama 12 tahun.

Terbaru, Zaidatul melakukan catatan peribadi terbaik, 11.59 saat, ketika menjalani kem latihan di Jerman yang berakhir 3 Ogos lalu.

Catatan berkenaan mampu membuat pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 tersebut menarik nafas lega untuk terus berusaha menyumbang pingat buat negara, apatah lagi catatan berkenaan ketika ini meletakkannya di tangga keempat berdasarkan pencapaian 100m wanita dalam Sukan Asia Incheon 2014.

"Buat masa sekarang, keadaan saya baik tanpa sebarang kecederaan. Saya hanya perlu memperbaiki catatan masa.

"Mahu konsisten agak sukar tetapi saya akan berusaha untuk memperbaikinya," kata Zaidatul. 

Jaguh lompat tinggi negara, Hup Wei, juga dalam kelas tersendiri untuk bersaing sengit dengan rakan sepasukan, Nauraj, dalam Sukan Asia, lebih-lebih lagi selepas meraih emas dalam Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur dengan catatan 2.26 meter.

Hup Wei menjadi prospek terbaik negara untuk merakamkan pingat memandangkan catatan itu 0.01 meter melebihi catatan pemenang pingat gangsa edisi 2014 di Incheon.

"Saya berasakan saya boleh nampak kesilapan saya.

"Saya mahu melihat semua kesilapan agar saya dapat memperbaiki teknik lompatan," kata Hup Wei. 

Apa yang pasti, misi menamatkan kemarau pingat emas selama 12 tahun yang kali terakhir menerusi atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu dan Noraseela Khalid (400m lari berpagar) pada 2006 harus diutamakan oleh setiap atlet selepas mengharungi persiapan terbaik, sama ada di dalam atau luar negara.
 

Advertisement

Must Watch Video