OLAHRAGA
Sukan Asia: Jonathan hampir terlepas acara 100m
Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, mempunyai misi mustahil untuk layak secara merit bagi acara 100 meter apabila perlu melepasi catatan 10.18 saat yang juga rekod kebangsaan untuk dia ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.
Ia dianggap mustahil kerana Malaysia perlu menunggu selama 18 tahun untuk melihat seorang atlet negara berupaya berlari dengan catatan 10.18s, yang dilakar Khairul Hafiz Jantan pada 2016.
Ia juga menyamai catatan tempat keempat Sukan Asia edisi lalu, yang dilakukan Zhang Peimeng dari China.
Iklan
Jika dia tidak berjaya melepasi catatan itu secara merit, dia berharap untuk melakar masa terbaik dalam kalangan pelari Malaysia untuk tahun ini, sekali gus memohon Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mempertimbangkan rayuannya beraksi dalam acara individu.
"Saya memang mahu cuba layak dalam acara individu tetapi kalau tidak sempat, saya akan berusaha bagi 4x100m dalam Sukan Asia nanti," ujarnya.
Satu acara sudah pun terjamin buat Jonathan apabila dia akan beraksi dalam acara 4x100m.
Catatan terbaik Jonathan tahun ini sekadar 10.40s yang dilakukan dalam Terbuka Malaysia, Mei lalu.
"Untuk kejohanan di Malaysia, ia kurang pendedahan. Sebab itu saya perlu ke luar untuk mendapatkan catatan masa yang baik. Pertandingan di Malaysia nyata kurang," katanya lagi.
Must-Watch Video



