SUKAN LAIN
Sukan Asia Hangzhou: Rekod baru pacu trio pecut berbasikal trek wanita
Permata baru sukan berbasikal trek wanita negara yang diketuai Anis Amira Rosidi mengotakan janjinya untuk memperbaharui rekod kebangsaan pecut berpasukan menerusi kejayaan pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou bersama Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan pada hari pembukaan saingan.
Detik bersejarah itu mengakhiri kemarau podium di pentas kompetitif yang dilalui trio srikandi negara, secara tidak langsung memberi isyarat awal potensi arena berbasikal trek yang kini bukan hanya didominasi pelumba lelaki.
Malah, mereka memadam catatan 49.204s yang dilakar dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, Jun lalu dengan rekod baru 49.025s di Pusat Sukan Chun'an Jieshou, petang tadi.
Iklan
"Sebenarnya (usaha kami) sangat mencabar dari ACC tahun lepas lagi, ini adalah pencapaian medal pertama untuk kami pada tahun ini," kata Nurul Izzah.
Apa pun, mereka enggan mudah berpuas hati dan menurut Nurul Aliana: "Rekod terpantas kami sebelum ini 49.204s.
"Kami tidak sangka dapat mengulanginya dan selepas ini kami akan buat sehabis baik untuk memasuki 48.000s, seterusnya bersaing dengan negara lain."
Must-Watch Video