Bintang skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, menamatkan penantian 13 tahun negara untuk membawa pulang pingat emas Sukan Asia.

Dia mengulangi pencapaian Azlan Iskandar itu di Pusat Skuasy, Stadium Olimpik Hangzhou, sebentar tadi dengan mempamerkan ketenangan sebelum memadam impian pemain India, Saurav Ghosal, 3-1 untuk menambah koleksi kelima kontinjen negara dalam edisi ke-19 ini.

Kemenangan itu membolehkannya menebus kekalahan kepada lawan yang sama dalam acara berpasukan, malah melengkapkan statusnya sebagai bintang benua ini selepas mengungguli Kejohanan Individu Asia Ke-22 di Hong Kong, Jun lalu.

"Perlawanan tadi memang susah terutama set pertama dan kedua. Saya tidak tahu macm mana boleh menang.

"Saya tak perlu fikir jauh, saya tahu corak permainannya jadi cuma perlu kekalkan keyakinan.

"Kalau saya menangis pun adalah atas segala usaha yang dicurahkan kerana ia sahaja datang daripada diri sendiri, ia hasil kerjasama semua pihak termasuk yang sentiasa berada di belakang saya termasuk negara," katanya selepas mencetak kemenangan 9-11, 11-9, 11-5, 11-5, 11-7.