SEPAK TAKRAW
Sukan Asia Hangzhou: Emas sepak takraw regu dirampas Thailand
Hasrat skuad sepak taktaw regu negara untuk menumbangkan Thailand tidak menjadi selepas perlawanan akhir Sukan Asia Hangzhou di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua pagi tadi diselubungi kontroversi keputusan pengadil.
Malaysia yang turun sebagai penyandang pingat emas edisi Jakarta-Palembang 20218 dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican memulakan perlawanan dengan tenang dan tak membiarkan kutipan mata terlalu jauh.
Untuk seketika, Malaysia sempat mendahului Thailand tetapi tidak bertahan lama kerana kebijaksanaan tekong Thailand, Sittipong Khamchan, mengatur servis dan menghadirkan mata.
Iklan
Di pertengahan mata, ketua jurulatih, Jais Baharun, melakukan pertukaran dengan membawa masuk Syahir Rosdi tetapi taktikal tersebut tidak menjadi kerana servisnya yang kerap terkandas di jaring, sekali gus memberi kemenangan 21-15 buat Thailand di dalam set pertama.
Syahir kemudian tampak lebih berkeyakinan dan meletakkan Malaysia mendahului 7-5, namun jurang dua mata tidak menjadi masalah buat Thailand untuk menyamakan kedudukan 7-7.
Sasaran tiga dan lima yang menjadi pilihan Sittipong terus memerangkap Syahir hingga Zarif Marican kembali dibawa masuk bagi mengukuhkan pertahanan.
Dan percaturan itu membuahkan hasil untuk skuad negara kembali menyamakan kedudukan 18-18 tetapi mengelak risiko dalam set penentuan.
Thailand menjarakkan mata 20-19 dan di saat Malaysia ingin perlawanan diheret ke set penentuan, berlaku kontroversi membabitkan keputusan bola keluar.
Kecewa dan marah hanya mampu diterjemahkan menerusi riak muka pemain, namun keputusan pengadil itu adalah muktamad untuk pingat emas Sukan Asia gagal dipertahankan di Hangzhou.
Must-Watch Video