Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Dhabitah sasar dua pingat

dhabitah.jpg
Penerjun Olimpik negara, Nur Dhabitah Sabri mahu merawat duka insiden penyebaran video ‘berpesta arak’ dengan membawa pulang dua butir pingat dari Sukan Asia 2018 di Indonesia bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini.

Mengakui emosinya sedikit terganggu akibat penyebaran video tersebut, penerjun berusia 18 tahun itu kini mahu menumpukan sepenuhnya untuk temasya peringkat benua itu. 

Pemenang dua pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 (bersama Leong Mun Yee) itu,  bagaimanapun menganggap ia sebagai satu pengalaman yang mendewasakan dirinya.

“Emosi saya sudah jadi macam biasa (normal) dan 'benda itu'’ telah diletak belakang...Dah kembali ke landasan asal. Insiden itu telah mengajar saya untuk terus berhati-hati dalam semua pekara. Buat masa ini, persiapan berjalan baik, tapi kena perbaiki banyak lagi sebelum bertolak ke Indonesia.

“Saya harapkan pingat dalam acara 3m papan anjal seirama dan 1m papan anjal, tak kira apa warna. Sudah pasti atlet dari China akan beri saingan yang hebat, ditambah pula cabaran penerjun dari Korea Utara dan Jepun yang meningkat naik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ketua kontinjen Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi ke sesi latihan skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Nur Dhabitah merupakan antara tujuh penerjun negara yang dilihat berfoya-foya dalam video yang dimuat naik dalam internet baru-baru ini.

Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagaimanapun menegaskan bahawa Nur Dhabitah tidak mengambil alkohol, walaupun berfoya-foya bersama-sama Pandelela Rinong, Chew Yiwei, Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin, Gabriel Gilbert Daim dan Kimberly Bong ketika sesi latihan di China pada Febuari lepas.

Menurut Nur Dhabitah, mengikut perancangan awal barisan kejurulatihan skuad terjun, beliau dijangka mengambil bahagian dalam empat acara, termasuk 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng Yan Yee, bagaimanapun belum diputuskan lagi.

Sebagai rekod, pada penampilan pertamanya di Sukan Asia dalam edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan,  beliau terpaksa berpuas hati dengan tempat keenam menerusi acara 1m papan anjal.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video