SUKAN LAIN
Sukan Asia 2018: Ziyad fokus baiki teknik balingan
Atlet lontar peluru F20 negara, Ziyad Zolkefli, bersikap rasional dalam memastikan kemunculan dalam Sukan Asia 2018, Ogos depan selain enggan terburu-buru mencari balingan terbaik apabila lebih mengutamakan program yang telah ditetapkan.
Ketika hasrat memecah dominasi untuk membuktikan atlet para juga mampu beraksi dalam Sukan Asia, Ziyad menegaskan dia tidak tersasar daripada rangka program yang telah ditetapkan untuknya.
Walaupun balingan pertamanya pada 2018, iaitu dalam Kejohanan IPC Dubai sekadar 16.42 meter, ia masih jauh untuk menjangkau kelayakan merit 18.20m ke Sukan Asia.
Iklan
Begitupun, Ziyad tidak gusar, apatah lagi dia bakal berhadapan dua lagi kejohanan di pentas antarabangsa, iaitu Terbuka Thailand dan Kejohanan Jemputan Halle di Leipzig, Jerman pada Mei depan.
"Untuk pertandingan seterusnya adalah Terbuka Thailand dan sasaran saya di sana adalah 16.9m hingga 17.2m.
"Insya-Allah. Saya akan melakukan yang terbaik. Seterusnya di Jerman nanti, saya akan melakukan catatan peribadi terbaik," katanya.
Malaysia belum pernah menghantar wakil lontar peluru dalam Sukan Asia.
Sebelum mencapai sasaran merit, Ziyad mahu memastikan rekod kebangsaan 17.54m milik Adi Alifuddin dipecahkan terlebih dahulu sebelum misi layak ke Sukan Asia diteruskan.
"Pertama sekali, saya mahu memecahkan rekod kebangsaan. Kedua, saya cuba melayakkan diri ke Sukan Asia.
"Kalau tidak dapat, Sukan Para Asia masih ada," kata Ziyad lagi.
Must-Watch Video