Bekas bintang NBA, Amare Stoudemire, memohon maaf gara-gara membuat kenyataan kurang enak berkenaan golongan homoseksual dengan menegaskan dia sekadar bergurau.
Dua hari selepas menerima Anugerah Martin Luther King Jr. di atas usahanya mempromosikan kepelbagaian kaum dan tolak-ansur, Stoudemire telah ditanya oleh media Israel, Walla Sport, tentang anggapannya jika memiliki rakan sepasukan yang homoseksual.
All Star NBA sebanyak enam kali itu dengan selamba menjawab: "Saya akan mandi di tempat lain, dan pastikan baju hampir dengan saya. Selepas itu saya akan mengambil 'haluan' berbeza untuk menuju ke gim."
Pemain berusia 34 tahun itu yang kini bermain secara profesional di Israel, menegaskan komen tersebut dibuat secara berseloroh.
"Saya mahu memohon maaf atas kenyataan saya terhadap komuniti LGBT," Stoudemire memberitahu TMZ Sports.
"Kenyataan itu telah diambil daripada sesi temu bual yang lebih panjang di mana wartawan telah bertanyakan soalan berbentuk hipotetikal dan semua jawapan saya bersifat gurauan.
"Kenyataan tersebut bersifat jenaka, jadi saya mahu meminta maaf kepada sesiapa yang terkesan."
Dia menambah: "Saya akan menerima sebarang cadangan untuk membantu golongan LGBT mempertahankan diri mereka di samping memberi fokus terhadap bola keranjang."
Meskipun menegaskan kenyataan tersebut berbentuk gurauan tetapi apabila Stoudemire berkata "terdapat perkara yang benar di sebalik satu gurauan," pemohonan maaf tersebut dianggap tidak ikhlas.
Bola Keranjang