Skip to main content

Sukan Lain

SRAM kaji keberkesanan program luar negara, jurulatih

nicol-david.jpg
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, mahu terus kekal berpangkalan di Belanda bersama jurulatih, Liz Irving, tatkala keberkesanan programnya sedang dikaji semula.

Nicol tidak lagi menampakkan sebarang peningkatan prestasi di bawah program yang dikendalikan Irving.

Di sebalik perbelanjaan besar, Nicol kini tidak lagi berada dalam kalangan terbaik dunia selepas terkeluar daripada ranking 10 terbaik.

Satu pertemuan antara Nicol, bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dalam tempoh terdekat akan menentukan masa depan program Nicol.

"Buat masa ini, Nicol mahu terus kekal berlatih di Belanda sebagai persediaannya untuk menempuhi kejohanan utama dalam tempoh beberapa bulan lagi. 

"Kejohanan-kejohanan ini akan memberikan kami petanda mengenai tahap prestasi dan hala tujunya dalam tempoh enam bulan akan datang. 

"Oleh itu, kita perlu tunggu dan lihat dengan harapan dia tidak terus tergelincir di ranking ke-13 yang didudukinya ketika ini," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Dalam pada itu, Maniam memberi bayangan bahawa skuasy bakal kehilangan khidmat seorang jurulatih berpengaruh skuad senior atas beberapa faktor, termasuk isu berkaitan kontrak.

Nama ketua jurulatih, Peter Genever, turut tidak terkecuali.

"Kekangan kewangan dengan dana yang berkurangan mendorong kami untuk mengambil langkah berjimat-cermat.

"Kini terpulang kepada jurulatih sama ada mereka sanggup menerima potongan gaji sebelum kami dapat mengumumkan barisan kejurulatihan yang akan bersama skuad negara," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video