Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, gagal mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka DPD 2019 selepas kalah kepada juara bertahan dunia, Nour El Sherbini dari Mesir, dalam perlawanan pusingan kedua di Eindhoven, Belanda, pagi tadi.
Sherbini, pilihan kedua, terbukti terlalu gagah bagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila menang selesa 11-8, 11-4, 11-2 dalam masa hanya 21 minit.
Mengulas tentang kekalahan itu, Nicol berkata Sherbini berada di kedudukan terbaik untuk memenangi perlawanan itu sambil menambah telah memberikan tentangan habis-habisan, namun lawannya itu membuktikan dia adalah pemain terbaik di dunia.
“Dia (Sherbini) masih meneruskan aksi cemerlangnya, saya amat kagum dengan tiga kejuaraan dunia yang diraihnya setakat ini," Nicol dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang kejohanan, www.dpdopensquash.com.
Nicol, yang tinggal di Amsterdam, mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan yang sentiasa memberi sorakan galakan kepadanya sejak 16 tahun lalu, terutama apabila dia memenangi dua kejuaraan dunia di negara Eropah.
"Sungguh hebat apabila ada pasukan sorakan yang memberi galakan dan menyokong saya sehingga ke penamat.
"Saya fikir cara penduduk dan cara SquashCity itu menjadikan mereka sebuah keluarga sebenar kepada saya yang berada jauh dari tanah air. Memang seronok berada di sini dan saya rasa belum puas, ia amat hebat, begitu banyak kenangan indah," kata Nicol.
Nicol yang akan bersara pada akhir musim ini, merakamkan penghargaan kepada bekas legenda skuasy Australia, Liz Irving, yang sentiasa berada bersamanya sepanjang jatuh bangun dalam kerjayanya sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu, Sherbini berkata bermain menentang Nicol yang merupakan antara legenda sukan skuasy sejak beberapa dekad lalu adalah detik istimewa dalam hidupnya.
"Saya telah beberapa kali berdepan dengannya dan perlawanan itu sentiasa istimewa. Dia banyak berjasa kepada sukan kita dan kami pula banyak belajar daripadanya. Ketika usia saya masih muda, saya sentiasa menyanjungnya, jadi memang sukar untuk bermain menentangnya,” kata Sherbini.
"Saya rasa kali pertama kami beraksi adalah di Malaysia dan dia kalahkan saya 3-0 dalam masa 20 minit. Saya juga kalahkan beliau 3-2 di Malaysia buat kali pertama dalam Kejohanan Dunia. Ia satu daripada pencapaian terbesar dalam hidup saya,” kata pemain kelahiran Iskandariah itu.
-- BERNAMA