Atlet memanah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Shaifuddin Mohd Kamro dan Azuanis Abdullah, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UniSZA dalam Majlis Kecemerlangan Sukan 2015/16 di Dewan Perdana, kelmarin.
Muhammad Shaifuddin, pemenang pingat gangsa acara recurve berpasukan lelaki dalam Sukan Universiti Asia (AUG) di Singapura, Julai lalu, mengetepikan empat pesaing lain, iaitu atlet mendayung, Muhammad Rabani Hashim, Amir Muhammad Zulfadhli Mohd Faizal (boling padang), Mohamad Hazazi Mazuki dan Mohd Hafiz Abu Bakar (bola sepak).
“Ini adalah satu penghargaan serta hadiah kepada saya sempena tamatnya pengajian saya di sini selain telah membawa nama UniSZA ke Universiade di Gwangju, Korea Selatan, tahun lalu.
“Kini saya terpilih ke program ‘Kita Juara’ bersama tiga atlet lain dan dalam fasa kedua pemilihan skuad negara menjelang Sukan SEA tahun hadapan.
“Dijulang selaku Olahragawan UniSZA menyuntik semangat saya untuk memberikan yang terbaik sehingga ke fasa terakhir, penghujung Mac ini dan sekiranya terpilih, saya berharap dapat menyumbang pingat emas dalam temasya itu dalam acara recurve,” ujarnya.
Azuanis, yang turut menyertai Universiade tahun lalu, serta meraih pingat emas acara recurve berpasukan wanita dalam AUG 2016, menewaskan rakan sepasukan, Siti Nurul Asiah Mahmod, Nasuha Najmi (taekwando) dan Norliyana Zailani (karate).
“Alhamdulillah saya sangat berterima kasih kepada UniSZA atas anugerah ini dan kejayaan ini adalah hasil usaha keras sejak beberapa tahun lalu di mana saya juga dianugerahkan Olahragawati Harapan pada 2013.
“Sejak mula berjinak dengan sukan ini pada usia 13 tahun, ini adalah satu kebanggaan kepada saya dan saya telah menetapkan sasaran untuk membawa pulang pingat dalam setiap kejohanan yang disertai,” kata atlet berasal dari Tanah Merah, Kelantan, itu.
Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil, blazer dan trofi yang disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Latif.
Dalam pada itu, kejayaan membantu pasukan bola sepak UniSZA menjuarai Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2016 membolehkan Muhammad Naim Mohd Nasir dijulang selaku Olahragawan Harapan.
Nur Aina Yasmine Halim, yang memenangi satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 serta satu pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit 1 2016 diumumkan sebagai Olahragawati Harapan.
Memanah