Skuad karate Sabah perlu meningkatkan lagi program latihan bagi mengatasi kelemahan yang ada untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Selepas gagal mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam Kejohanan Karate Kadet, Junior dan B-21 Kebangsaan di Perak hujung minggu lalu, Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, berkata mereka perlu lebih bekerja lebih keras untuk memastikan sasaran dalam SUKMA nanti dapat dicapai.
"Kami tidak dapat mempertahankan gelaran juara keseluruhan tahun ini tetapi kami memiliki sekumpulan atlet yang boleh diasah bagi bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Kami tidak akan berhenti untuk terus bekerja keras. Saya fikir ada banyak yang boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan karate negeri ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.
Dalam kejohanan di Perak itu, Sabah membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 11 gangsa untuk muncul pemenang tempat kedua keseluruhan di belakang pasukan Persekutuan Karate Hayashi Ha Malaysia yang merangkul lapan pingat emas, lima perak serta enam gangsa.
"Kami boleh menjadi juara sekiranya memperoleh satu lagi pingat emas, namun ada beberapa atlet yang tidak mencapai tahap yang diharapkan.
"Saya berharap kami mendapat satu lagi emas menerusi pasukan junior wanita tetapi gagal. Saya juga sedikit kecewa kerana kami mengharapkan lebih daripada skuad SUKMA, namun hanya Pressy (Misty Philip) yang menang," katanya.
Pemenang pingat emas untuk Sabah dalam kejohanan itu ialah Lovelly Anne Robberth yang mendapat dua emas menerusi kategori kata iIndividu wanita dan kumite individu -47kg, Muhammad Rafiuddin Faiz Razmi (kadet lelaki kumite +70kg), Ivan Charles (kadet lelaki kumite -70kg), Carl Pearson Philip (junior lelaki kumite -61kg), Alvin Tam (junior lelaki kumite -76kg) dan Pressy (B-21 wanita kumite -68kg).
Willie Jude
Tue Jun 26 2018