PERMOTORAN
SIC sudah hilang karektor -- Hamilton
Penurapan semula Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal tahun ini menyaksikan perubahan dinamik terhadap beberapa aspek, terutama ketinggian permukaan pada bahagian selekoh.
Pelumba Formula Satu (F1), Lewis Hamilton, berasakan pendekatan itu menjejaskan perwatakan litar tersebut sementara Nico Rosberg melihat senario itu sebagai sesuatu yang lebih positif.
"Litar ini (SIC) antara litar terbaik tahun lepas, semakin lama litar ini beroperasi, semakin mempunyai karektor dan apabila berlaku proses penurapan, kesemua perwatakan itu hilang," kata Hamilton, yang juga pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas.
Rosberg pula berkata: "Litar ini amat mengujakan, mungkin kami boleh memecahkan rekod catatan masa milik Juan Pablo Montoya kerana lebih banyak cengkaman dan boleh memandu lebih laju.
"Situasi ini merupakan satu cabaran kerana kami tidak tahu apa yang bakal menanti."
Iklan
Pada awal tahun ini, SIC ditutup sementara untuk kerja-kerja penurapan litar yang menggunakan permukaan "asphalt".
Permukaan "asphalt" itu tidak pernah digunakan di litar lain dalam kalendar perlumbaan musim ini.
Hanya lapan mata membezakan Hamilton dan Rosberg dalam pemburuan kejuaraan pemandu pada musim ini, dengan pelumba Jerman itu mendahului saingan.
"Hujan agak lebat di sini (Sepang), cuaca cerah lebih baik berbanding mendung. Mendung mencabar dari aspek fizikal dan atas faktor itu, anda boleh tewas dalam perlumbaan," kata Hamilton, yang menganggap peluang mengungguli senarai pelumba masih terbuka di antara dia dan Rosberg.
"Saya berpendapat peluang kami berdua seimbang dengan saingan berbaki enam perlumbaan. Jadi, saya tidak melakukan sebarang pengiraan dan lebih selesa mengambil pendekatan (fokus) satu perlumbaan pada satu masa."
Walaupun berada di tangga teratas, Rosberg turut memberi pandangan yang sama, sambil tidak memandang mudah keupayaan Hamilton yang meletakkan sasaran tinggi.
"Ia satu persaingan sihat, dia (Hamilton) antara pemandu terbaik dunia, dia meletakkan penanda aras yang tinggi dan dia jugalah juara dunia. Sudah tentu saya gembira apabila menewaskannya," kata Rosberg.
Grand Prix (GP) Malaysia akan berlangsung hujung minggu ini.
Selain permukaan litar, GP Malaysia turut menjadi acara terbesar pertama yang menggunakan dua fasiliti baru yang disediakan di SIC bermula Jumaat ini.
Fasiliti Paddock Utara dan Paddock Chalet yang mula dibangunkan pada Mei lalu itu siap sepenuhnya minggu lalu dan bakal memberi lebih keselesaan buat pasukan bertanding.
Must-Watch Video



