SUKAN LAIN
Sibuk ke majlis undangan, Ziyad dan Latif terpaksa lupakan Terbuka Malaysia
Harapan untuk menyaksikan dua pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, beraksi dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila mereka mengambil keputusan untuk tidak menyertainya.
Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan Ziyad dan Latif menunjukkan kesediaan untuk bertanding dengan atlet normal dalam Terbuka Malaysia pada 30 September ini.
Bagaimanapun, mereka terpaksa melupakan hasrat itu kerana tiada persiapan rapi dibuat untuk menghadapi kejohanan tersebut.
Iklan
"Terlalu banyak undangan ke majlis, sehingga kami tidak sempat untuk berlatih beberapa minggu ini. Jadi, tiada sebab untuk kami ke Terbuka Malaysia tanpa sebarang latihan," jelas Ziyad.
Pun begitu, Ziyad dan Latif masih lagi menyimpan keinginan untuk bersaing bersama atlet normal dan jika diberikan peluang, mereka mahu bersama-sama kontinjen Malaysia mengibarkan cabaran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Kalau boleh, saya nak beraksi dalam Sukan SEA 2017. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk memperbaiki catatan saya," katanya.
Sementara itu, Latif mengakui segala keputusan terletak pada pihak yang bertanggungjawab.
"Kalau diizinkan, saya juga mahu ke Sukan SEA 2017 tetapi pihak jurulatih dan pihak atasan yang mempunyai kuasa menentukan sama ada dibenarkan atau tidak."
"Kami akan persiapkan diri untuk Sukan SEA 2017 dan Kejohanan Dunia," kata Latif.
Must-Watch Video



