Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Shapawi: Program Podium baru kekal objektif utama

shapawi.jpg
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menafikan intipati terbaru Program Podium melanggar objektif utama sambil menegaskan kecemerlangan atlet di peringkat tertinggi sebagai perkara paling penting.

Program Podium yang baru membabitkan secara keseluruhannya 645 atlet kebangsaan yang terdiri daripada 503 atlet normal serta 142 atlet para. Daripada jumlah itu, seramai 133 orang adalah atlet Program Podium sedia ada; 409 atlet Kita Juara dan 103 atlet baru yang tidak menyertai mana-mana program sebelum ini.

Walaupun pendekatan MSN kali ini lebih terarah kepada sukan berkebajikan, Shapawi menjelaskan kegemilangan atlet kebangsaan di pentas tertinggi masih relevan sekiranya segala usaha diselaraskan mengikut perancangan.

"Kami menyediakan pakej kebajikan ini sebagai sebahagian daripada program latihan. Jadi, secara keseluruhannya, program latihan kami melibatkan kebajikan, kualiti dan pengurusan jurulatih.

"Kami menyediakan hadiah yang melibatkan jumlah besar bagi pemenang pingat emas dan ia merupakan insentif berupa 'one-off'. Jadi, semua atlet sepatutnya menuju ke arah kecemerlangan itu.

"Menteri juga ada sebut, ia menjadi rangsangan daripada segi kebajikan dan tidak dilihat daripada insentif agar atlet dapat memberikan fokus kepada latihan," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, berharap agar sentuhan baru terhadap Program Podium itu dapat memberikan galakan buat atlet untuk menghadiahkan pencapaian hebat buat negara di peringkat lebih tinggi.

"Dulu kami risaukan atlet akan menjadi lebih teruk disebabkan struktur baru. Namun, ia tampak sudah dipantau dan hari ini atlet ditawarkan dengan pakej lebih bagus serta setimpal," ujar Norza.

"Cuma, saya nak beritahu bahawa sudah sampai masa untuk atlet memenuhi kemampuan dan mendapatkan pencapaian."

Advertisement

Must Watch Video