Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, melakar sejarah di Amerika Syarikat (AS) apabila mencipta rekod baru kebangsaan acara 60 meter dalam dewan di Texas awal pagi tadi.
Pelari berusia 19 tahun itu mencatat masa 6.63 saat dalam pusingan pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Texas Tech di Pusat Kecemerlangan Prestasi Texas Tech.
Catatan itu memadam rekod lama kebangsaan, 6.66s, yang dibuat Watson Nyambek 24 tahun lalu dalam Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF di Jepun pada tahun 1999.
"New national record! (Rekod kebangsaan baru!), Alhamdulillah," tulis Azeem menerusi Instagramnya.
Dalam kejohanan berkenaan, Azeem menamatkan pusingan kelayakan di tempat kelima dengan masa 6.72s.
Pemegang rekod 100m negara itu kemudian melakukan catatan 6.63s dalam pusingan pertama untuk berada dalam senarai lapan peserta terbaik.
Di pentas final, Azeem yang mewakili Universiti Auburn meraih podium pertamanya apabila memenangi pingat perak selepas mencatat masa 6.65s.
Pingat emas dimenangi Micah Williams dari Universiti Oregon dengan catatan 6.49s, manakala gangsa menjadi milik pelari Universiti Louisiana, Rodney Heath Jr., menerusi masa 6.67s.
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Sat Jan 28 2023