Masa depan Lisandro Martinez di Manchester United mula menjadi persoalan berikutan kritikan luar biasa pertahanan itu terhadap pengurusan tertinggi kelab berkenaan, selain timbul keraguan sama ada kontrak pemain Argentina itu akan dilanjutkan apabila tamat pada musim panas ini.
United dilaporkan akan memberikan tumpuan untuk merombak barisan pertahanan mereka dalam jendela perpindahan akan datang dan mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak Martinez untuk setahun lagi.
Pengurusan tertinggi United masih belum memutuskan sama ada mahu mengenakan tindakan disiplin terhadap Martinez atas kenyataannya, di mana dia berkata: "Saya mengharapkan lebih banyak daripada pengarah teknikal kami (merujuk kepada pengarah bola sepak, Jason Wilcox). Kami mengharapkan lebih banyak daripada pihak atasan untuk membawa masuk lebih ramai pemain bagi bersaing."
Akhbar British, Sky Sports News, difahamkan bahawa terdapat kemarahan dan kekecewaan terhadap apa yang diperkatakan oleh Martinez, sama ada dalam bilik lembaga pengarah United mahupun di dalam bilik persalinan pemain, dengan sekurang-kurangnya seorang pemain lain telah menegurnya berhubung kenyataan itu ketika skuad mereka menaiki pesawat untuk pulang ke Manchester.
Difahamkan juga tiada sebarang tekanan dalaman yang dihadapi oleh Wilcox mengenai kedudukannya ketika ini.
Menurut Sky Sports News, bayangan daripada Martinez, yang menganggap rakan sepasukannya tidak cukup bagus untuk bersaing, jelas tidak disenangi oleh pemain-pemain lain.
Martinez juga difahamkan sudah lama berhasrat untuk berpindah keluar dari Old Trafford.
Pada musim panas lalu, dia mendesak untuk berpindah ke Atletico Madrid, pasukan yang menewaskan United dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini, mengikut jejak rakan baik dan rakan sepasukan antarabangsanya, Cristian Romero, yang meninggalkan Spurs untuk ke Sepanyol.
Bagaimanapun, tiada sebarang bidaan bersesuaian untuk Martinez diterima Manchester United untuk dipertimbangkan.
Pemain berusia 28 tahun itu pernah membuat kenyataan lantang yang serupa terhadap pihak pengurusan ketika bersama Ajax pada tahun 2022. Martinez, yang ketika itu turut mendesak untuk berpindah, menggelar pengarah sukan mereka, Gerry Hamstra, sebagai "bukan sesiapa".
Apapun, Martinez kekal sebagai watak penting dalam skuad kendalian Michael Carrick musim ini dan pihak pengurusan United sedar mereka perlu mengendalikan situasi itu dengan berhati-hati.