Kelab yang berpangkalan di Perancis, LOSC Lille, mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang setelah pemain pertahanan mereka, Tiago Santos, mengalami kecederaan lutut serius gara-gara diterjah keras oleh pemain lawan dalam aksi Ligue 1 menentang Le Havre hujung minggu lalu.
Santos, 24, mengalami koyak anterior cruciate ligament (ACL) serta kecederaan meniskus di lutut kanannya setelah diterjah oleh pemain tengah Le Havre, Amir Richardson, dalam babak pertama.
Bagaimanapun, pengadil hanya memberikan amaran dan tiada sebarang layangan kad kepada Richardson.
Lille berpendapat terjahan itu layak diberikan kad merah dan mengarahkan Badan Pengelola Liga (LFP) merujuk insiden berkenaan kepada Jawatankuasa Disiplin.
Kelab itu juga meminta penjelasan berkenaan proses semakan video bantuan pengadil (VAR) yang dikendalikan oleh pengadil perlawanan.
"LOSC sedang meneliti sebarang kebarangkalian untuk tindakan undang-undang dan memiliki hak untuk mendapat pampasan susulan kejadian ini," kata kelab itu.
"Kami akan menyokong Tiago dalam segala bentuk mahupun cara bagi mempertahankan haknya."
Dalam pada itu, Le Havre dalam satu kenyataan menitipkan doa mereka supaya Santos cepat sembuh tetapi teguh dengan pendirian mereka bahawa pengadil dan VAR telah membuat keputusan tepat untuk tidak membuang padang pemain mereka, Richardson.