Skip to main content

Sukan Lain

Semangat Latif membara hadapi kejohanan pertama

latif-romly.jpg
Selepas lima bulan tersisih akibat kecederaan, atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, teruja untuk membuat penampilan semula dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2019. 

Saingan Terbuka Thailand akan bermula 18 Mei ini dan ia bakal menjadi kejohanan pertama untuk Latif tahun ini.

Sebelum ini, dia disisihkan ekoran kecederaan di bahagian lutut kiri dan hamstring.

Tiada catatan spesifik yang ingin dilakukan oleh pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 itu, sebaliknya dia mahu cuba untuk mendapatkan semula rentak dalam melakukan lompatan terbaik.

Lompatan sejauh 7.64 meter yang dilakukannya dalam Sukan Para Asia 2018, Oktober lalu, membantunya memadamkan rekod dunia miliknya sendiri, 7.60m, yang dilakukannya dalam Sukan Paralimpik Rio, dua tahun lalu.

Tambahan pula, Latif berdepan cabaran apabila bakal bersaing ketika bulan Ramadan.

"Ini kejohanan pertama saya tahun ini. 

"Tidak banyak kejohanan boleh saya sertai tahun ini sebab sering diganggu masalah kecederaan sejak akhir tahun lalu. 

"Bagaimanapun, saya mahu menyasarkan rekod dalam Terbuka Thailand," katanya.

Biarpun persiapannya agak ketinggalan berbanding rakan sepasukan yang lain, Latif tidak gusar sambil menjelaskan dia masih di landasan untuk sekali lagi melayakkan diri ke Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan dan dalam masa yang sama, berusaha untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan Para ASEAN, dari 18 hingga 25 Januari depan. 

"Saya cuba untuk layak ke Sukan SEA, termasuk mempertahankan emas Kejohanan Para Dunia 2019 (November depan) selain menyasarkan catatan terbaik," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video