Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini dengan pesta gol apabila membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.
Pasukan juara bertahan itu menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama sebelum menambah enam lagi jaringan dalam separuh masa berikutnya.
Penyerang baru, Shahab Zahedi, muncul pemain paling cemerlang dengan meledakkan empat jaringan, dua daripadanya dalam separuh masa pertama, masing-masing pada minit kedua dan 37, sebelum Muhammad Faudzi terjaring gol sendiri ke gawang KRW sebelum ke bilik persalinan.
JDT hanya memerlukan empat minit selepas perlawanan bersambung untuk menambah jaringan, kali ini menerusi penyudah Jairo da Silva dan berselang seminit, Zahedi datang lagi dengan jaringan ketiga peribadinya.
11 minit kemudian, Zahedi sekali lagi menemui jaringan keempatnya dengan menyudahkan lintangan dekat Afiq Fazail untuk JDT mendahului 6-0 sebelum Matias Nahuel, Eddy Israfilov dan Arif Aiman Hanapi melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan masing-masing menemui sasaran pada minit ke-78, 81 dan 90.