Skip to main content

Sukan Lain

Sarawak akur keputusan IPC

pusatakuatik.jpg
Sarawak akur dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung di Kuching. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri perlu mematuhi dasar luar Kerajaan Persekutuan.

“Malaysia mempunyai pendirian sendiri dan Sarawak hanyalah sebagai venue. Saya tahu ia telah dibatalkan tetapi kami perlu perlu menurut dasar luar Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika mengulas keputusan IPC yang diumumkan semalam.  

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Kesenian Belia dan Sukan Sarawak  Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata setakat semalam, 1,678 atlet dan pegawai dari 64 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan yang dijadualkan dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Abdul Karim berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Program ‘Experience Sarawak’ di Kuching malam tadi dan menambah Sarawak berasa sedih dan kecewa tetapi menerima keputusan itu dengan hati terbuka. 

“Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Israel, maka negeri perlu menurutinya  atau tidak negara lain akan mentertawakan kami jika kami menggunakan dasar sendiri,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata akan terdapat kerugian daripada segi kewangan kerana persiapan untuk pertandingan antarabangsa itu sudah dibuat sejak tahun lalu sementara negara peserta juga telah menempah penerbangan dan penginapan mereka.

“Tetapi sebagaimana yang saya kata, kami perlu akur dengan dasar luar negara, maruah negara perlu difikirkan dan kami perlu menjaga martabat negara,” katanya.  

Kira-kira 600 perenang dari lebih 60 negara dijangka menyertai acara itu yang menawarkan lebih 160 pingat. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding dalam kejohanan itu.

Bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Israel membantah keputusan itu dan terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video