Perenang negara, Khiew Hoe Yean, menganggap kejayaannya mengatasi rekod acara 200 meter gaya bebas Kejohanan Renang Terbuka Peringkat Umur milik Welson Sim sebagai petanda yang cukup baik sebelum ke Sukan SEA Kemboja.
Dia memulakan saingan hari pertama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini dengan masa 3:52.28 saat untuk melenyapkan catatan Welson iaitu 3:53.47s.
"Saya rasa sudah bersedia sepenuhnya, hanya tunggu kejohanan bermula sahaja.
"Saya sudah memulakan persiapan Sukan SEA sejak tahun lalu dan agak terkejut dengan peningkatan prestasi sendiri.
"Saya jangka dapat hasilkan keputusan yang baik dalam Sukan SEA," katanya hari ini.
Tegasnya, tiada istilah penat dalam misi untuk mengharumkan nama negara selepas begitu banyak pengorbanan yang dibuat.
Tatkala kanak-kanak lain sibuk dengan bermain dan menikmati keseronokan, Hoe Yean sudah menggalas misi untuk mengharumkan nama negara seawal usia tujuh tahun lagi.
"Saya ada tugas, saya ada impian jadi saya mahu memenuhinya.
"Saya sedia mengorbankan masa saya demi mencapai impian," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Thu Apr 13 2023