Skip to main content

Sukan Asia

Renang: Jinq En enggan terlalu kecewa

phee-jinq-en.jpg
Atlet renang negara, Phee Jinq En, enggan terlalu kecewa walaupun hasratnya untuk cuba memecahkan rekod kebangsaan 50 meter kuak dada wanita tidak menjadi kenyataan dalam aksi final Sukan Asia Indonesia di Pusat Akuatik, Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.

Jinq En meneruskan kemaraan ke final acara itu susulan persembahan cemerlang dalam peringkat saringan.

Catatan 31.46 saat dalam saringan menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan 31.54 saat miliknya yang dilakukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Begitupun, dalam final, dia hanya mampu berpuas hati dengan catatan 31.64 saat untuk menduduki tempat keenam, dengan saingan itu diungguli perenang Jepun, Satomi Suzuki, yang memecahkan rekod temasya menerusi catatan 30.83 saat.

Pingat perak dimenangi atlet Singapura, Ho Ru'En Roanne, dan gangsa milik Feng Junyang dari China.

Ini merupakan final kedua buat Jinq En, yang turut melayakkan diri ke lapan terbaik acara 100 meter kuak dada.

"Secara keseluruhannya, saya agak berpuas hati, namun menganggap sepatutnya mampu melakukan yang lebih baik dalam final 100m kuak dada.

"Ini pembabitan pertama saya dalam Sukan Asia, untuk itu saya berazam untuk lebih bagus pada masa akan datang," katanya.

Jinq En selepas ini akan kembali memberikan tumpuan kepada pengajiannya di Amerika Syarikat, dengan misi awal cuba untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan, tahun depan.

Selain itu, dia juga menghargai jasa ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham, yang akan melepaskan tugas berkenaan selepas selesai kempen Sukan Asia ini.

"Saya berasa kesal dan sedih dengan keputusannya. 

"Begitupun, saya berterima kasih kepada beliau yang telah membimbing saya sepanjang tempoh empat tahun ini.

"Pada awalnya, saya tidak mempunyai apa-apa, malah renangan saya sangat perlahan. Namun, beliau nampak bakat terpendam saya sehingga membawa saya ke tahap seperti hari ini. 

"Saya harap penggantinya mampu meneruskan sentuhannya atau lebih baik lagi," kata Jing En lagi.

Advertisement

Must Watch Video