Skip to main content

Sukan Lain

Razak optimis kemampuan Zarish

razak.jpg
Bekas pesilat kebangsaan, Razak Ghazali, mahu atlet muda negara, Muhammad Zarish Hakim, yang menggantikan tempatnya dalam saingan kelas D Putra menyambung legasi yang ditinggalkan untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan bergelar juara dunia tahun depan.

Razak mengambil keputusan meninggalkan skuad kebangsaan kerana enggan berdepan risiko kecederaan lebih teruk selepas mengalami gegaran otak, Mei tahun lalu.

Walaupun tidak lagi bergelar atlet negara, juara dunia 2016 itu meletakkan harapan tinggi kepada Zarish yang sudah beralih ke kelas D Putra sejak tahun lalu.

Zarish adalah antara atlet yang mampu berada di tahap terbaik seperti yang telah dipamerkan oleh Muhd Al Jufferi Jamari dan Razak ingin melihat gelaran juara dunia menjadi milik pesilat berusia 20 tahun itu dalam Kejohanan Dunia tahun depan.

"Saya harap Zarish dapat mengekalkan kelas D Putra dan silat olahraga menjadi milik Malaysia. Jadi, diharapkan dia memberi sepenuh perhatian," katanya.

Razak dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan PDRM di mana pengurusnya, Mohamad Sukri Ishak, ingin melihat bekas atlet itu berkongsi segala pengalaman dan ilmu yang dimilikinya.

Ia juga bertujuan membentuk pesilat terbaik bagi diserap ke dalam skuad kebangsaan mengikut jejak langkah dua atlet pasukan itu ketika ini, Fauzi Khalid dan Mohd Taqiyuddin Hamid, yang sudahpun bergelar juara dunia.

"Kami mahu melahirkan lebih ramai atlet daripada PDRM yang pergi ke peringkat kebangsaan dan mengikut jejak langkah Razak.

"Dalam masa sama, perancangan kami adalah mengharapkan pengalaman yang dimiliki Razak dapat diturunkan kepada pesilat lain bagi menghadapi cabaran serta membuktikan PDRM mampu ke peringkat antarabangsa," ujar  Sukri.

Advertisement

Must Watch Video