Skip to main content

Sukan Lain

Ramlan: Jangan lari daripada doping!

dr-ramlan-aziz.jpg
Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr. Ramlan Aziz, memberi peringatan tegas selepas terdapat sesetengah atlet yang cuba mengelak daripada melakukan ujian doping sebelum Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan. 

Seramai 70 peratus daripada jumlah 178 atlet yang bakal ke Gold Coast sudah pun melewati ujian doping dengan proses itu berakhir hari ini. 

Ketika isu doping menjadi perkara penting, wujud segelintir atlet yang bersikap sambil lewa dan cuba mengelak daripada melakukan ujian yang dijalankan agensi berkenaan.

ADAMAS mengeluarkan amaran keras jika ada yang atlet yang cuba mengelak ujian doping, denda yang sama akan dikenakan seperti mana atlet yang disahkan mengambil bahan terlarang mengikut ketetapan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). 

"Saya ingin mengingatkan kepada atlet bahawa bukan sahaja keputusan positif, malah jika lari daripada ujian juga boleh dikira positif. 

"Kami ada mendengar khabar bahawa wujud atlet yang berani melarikan diri daripada menjalani ujian. Jadi, jangan lakukan begitu, itu nasihat saya. Jika cuba larikan diri, mereka boleh dihukum," ujarnya.

Keseluruhan atlet yang terlibat dengan sukan berisiko seperti terjun, hoki dan angkat berat, bagaimanapun, sudah melepasi ujian saringan doping sebelum ke Sukan Komanwel, termasuk atlet berbasikal yang dilakukan ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) tempoh hari. 

Misi bebas doping masih diteruskan sempena Sukan Komanwel selepas hasrat itu gagal direalisasikan dalam Sukan SEA 2017 ekoran kes doping membabitkan atlet negara. 

"Sebenarnya, ini adalah satu cabaran yang amat tinggi. Kami harus berpegang kepadanya. Walaupun gagal, kami sentiasa berusaha dan berikhtiar. 

"Tidak betul juga mengatakan bahawa setiap kali kejohanan akan ada atlet yang positif kerana ada juga waktu yang menyaksikan tiada seorang pun atlet yang gagal melepasi ujian," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video