SUKAN-LAIN
Rahsia Di Sebalik Pergerakan: Kepentingan analisis untuk kesihatan dan kecemerlangan sukan
Analisis pergerakan manusia, termasuk cara berlari, cara berjalan, cara duduk, dan cara berdiri, memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dan kecemerlangan dalam sukan.
Pergerakan asas ini merupakan aktiviti harian yang sering diabaikan kepentingannya, tetapi sebenarnya sangat kritikal dalam memastikan tubuh badan manusia berfungsi dengan baik.
Kajian dan pemahaman mengenai pergerakan ini bukan sahaja membantu memperbaiki postur dan teknik tetapi juga mencegah pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan gaya hidup dan aktiviti fizikal.
Iklan
Dalam konteks kesihatan awam, analisis pergerakan manusia membantu mencegah kecederaan dengan mengenal pasti corak pergerakan yang tidak normal atau tidak efisien.
Sebagai contoh, postur duduk yang salah boleh menyebabkan sakit belakang, manakala gaya berjalan yang
tidak seimbang boleh membawa kepada kecederaan lutut atau pinggul sehingga membawa kepada pelbagai penyakit seperti sciatica, sciolosis dan lain lain.
Selain itu, dalam bidang fisioterapi, analisis ini digunakan untuk merancang program pemulihan bagi individu yang mengalami kecederaan atau selepas menjalani pembedahan. Melalui pendekatan ini, fungsi tubuh dapat dipulihkan dengan lebih cepat dan efektif.
Postur yang betul juga sangat penting dalam mengurangkan risiko masalah muskuloskeletal, terutamanya bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang memerlukan duduk lama di meja atau berdiri sepanjang hari. Kajian tentang cara duduk, berdiri, dan bergerak yang betul dapat meningkatkan ergonomik dan produktiviti di tempat kerja.
Selain itu, perubahan kecil dalam gaya berjalan seseorang boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan yang lebih serius, seperti penyakit Parkinson atau strok. Oleh itu, analisis pergerakan memainkan peranan penting dalam pemantauan dan penjagaan kesihatan awam.
Dalam dunia sukan, analisis biomekanik pergerakan manusia membantu atlet mencapai prestasi optimum. Melalui kajian mendalam, teknik terbaik dapat dikenal pasti untuk meningkatkan kecekapan, contohnya, dalam cara berlari atau melompat.
Analisis ini juga membantu dalam pengurusan kecederaan dengan mengenal pasti tekanan yang berlebihan pada sendi atau otot tertentu. Atlet juga boleh menggunakan maklumat ini untuk memilih peralatan seperti kasut sukan yang direka khas berdasarkan corak pergerakan mereka, sekali gus meningkatkan prestasi dan mencegah kecederaan.
Teknologi moden turut memainkan peranan penting dalam analisis pergerakan manusia. Penggunaan teknologi seperti motion capture membolehkan pergerakan manusia direkodkan secara tiga dimensi, memberikan gambaran yang lebih terperinci mengenai biomekanik tubuh.
Selain itu, sensor wearable yang di pasang pada badan atau peralatan seperti kasut membantu memantau parameter seperti tekanan dan sudut pergerakan serta memberi data tambahan untuk menyokong data motion capture yang diperolehi.
Data yang diperoleh ini digunakan dalam perisian analisis untuk memberikan maklum balas yang lebih spesifik, sama ada dalam aplikasi klinikal atau sukan.
Tuntasnya, memahami dan menganalisis pergerakan manusia bukan sekadar soal teknikal, tetapi satu langkah penting untuk meningkatkan kualiti hidup kita semua. Sama ada dalam mencegah kecederaan, memulihkan kesihatan, atau memacu kecemerlangan dalam sukan, ilmu tentang cara tubuh kita bergerak membuka peluang untuk hidup yang lebih sihat, selesa, dan berprestasi tinggi.
Mari kita jadikan pengetahuan ini sebagai panduan untuk kehidupan yang lebih cergas, produktif, dan harmoni. Ini kerana setiap langkah yang betul adalah pelaburan untuk masa depan yang lebih baik.
Dalam era moden ini, dengan sokongan teknologi yang semakin canggih, analisis pergerakan menjadi alat yang sangat berharga dalam meningkatkan kualiti hidup, baik dalam kesihatan awam mahupun kecemerlangan dalam sukan.
Pelaburan dalam kajian dan pendidikan berkaitan pergerakan manusia akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat pada masa hadapan. Pendedahan subjek seperti ergonomik, biomekanik, anatomi, fisiologi, dan analisis pergerakan manusia juga satu rahsia di sebalik sebuah kejayaan terutama dalam bidang sukan dan kesihatan awam. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka.
Disediakan oleh :
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip,
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan,
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi
Universiti Teknologi Malaysia JB
Must-Watch Video