JOHOR 25 TERENGGANU 36

Skuad ragbi Terengganu memulakan Piala Agong dengan nota kemenangan selepas mengalahkan Johor 36-25 dalam perlawanan Divisyen Premier di Kota Tinggi hari ini.


Pelawat beraksi baik pada awal permainan menerusi try Faizal Md Tahir dan Iowane Teba disusuli conversion sempurna Nazreen Fitri Nasrudin untuk mendahului 12-0.

Pemain nombor lapan, Siqeli Qau Qau, menamatkan babak pertama dengan kedudukan mata 5-12 buat Johor apabila melakukan try pada minit ke-22.

Sepuluh minit selepas rehat, Terengganu menambah tujuh mata hasil try tonggak import dari Fiji, Teba, serta conversion daripada Faizal.

Johor kemudian merapatkan jurang 13-19 berpunca daripada try kedua Qau Qau, diikuti sepakan penalti Faiq Aslah Mohd Satar pada minit ke-52.

Terengganu, begitupun, terus garang mengutip mata demi mata hasil try pemain naturalisasi negara, Timoci Vunimoku, dan Safiy Md Said sebelum Faizal menyudahkan dua conversion.

Ketinggalan 13-33, Johor kembali menghidupkan perjuangan melalui try Qau Qau dan conversion Faiq pada minit ke-70.

Faizal (m-74) kemudian menyempurnakan penalti untuk Terengganu manakala try Amirul Kamaruddin pada minit ke-77 sudah terlewat buat Johor yang tumpas 25-36.

Satu lagi wakil Pantai Timur dalam Divisyen Premier, Kelantan, turut bermula langkah kanan selepas membenam Kedah 69-0 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT)