Skip to main content

Sukan Lain

Ragbi Asia: Nyuk Fah enggan berputus asa

nyukfah.jpg
Ketua jurulatih ragbi 15's negara, Lee Nyuk Fah, enggan cepat mengaku kalah biarpun situasi tidak memihak kepada Malaysia untuk pertemuan kedua dengan Korea Selatan dalam divisyen perdana Kejohanan Ragbi Asia di Stadium Namdong Asiad, Incheon, Sabtu ini.

Malaysia kini berada di tangga tercorot divisyen perdana selepas tewas 10-35 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan dan seterusnya kalah 8-67 kepada Hong Kong di laman sendiri.

Kini skuad kebangsaan akan bertandang ke Incheon bagi mengharungi perlawanan timbal balik dan Nyuk Fah sedar ia misi mustahil untuk mencapai kemenangan berdepan pasukan yang berada di tangga ke-31 dunia itu.

"Malaysia sudah merasai perbezaan skor, maksud saya perbezaan tahap di antara Malaysia dan Korea Selatan atau Hong Kong. 

"Kami terpaksa akur kekuatan lawan, (tetapi) apa yang kami mahukan di sana adalah bermain untuk maruah negara, di mana kami akan memberikan persembahan terbaik," ujarnya.

Kelegaan juga buat Nyuk Fah apabila kebanyakan pemainnya sempat pulih selepas mengharungi perlawanan dengan Hong Kong, 5 Mei lalu.

Tatkala impian untuk ke Piala Dunia tahun depan semakin tipis buat skuad ragbi negara, jurulatih itu tetap mahu barisan pemainnya turun beraksi bermati-matian menentang Korea Selatan.

Katanya lagi, objektif pasukannya kini adalah untuk merapatkan jurang keputusan memandangkan Malaysia tewas 35-10 ketika aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 April lalu.

"Tujuan atau sasaran kami adalah untuk mengurangkan (perbezaan) skor atau merapatkan jurang. Kami akan perbaiki persembahan kami," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video