Skip to main content

Sepak Takraw

Pulau Pinang cipta hatrik kuasai takraw MSSM B-15

220317-sepak-takraw-berpasukan-bawah-15-pulau-pinang.jpg
Juara bertahan, Pulau Pinang, terus unggul apabila mencipta hatrik memenangi pingat emas acara sepak takraw berpasukan bawah 15 (B-15) Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dengan menumpaskan jiran utara, Perlis, 2-1 di Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM), pagi tadi.

Pulau Pinang, yang menurunkan Muhamad Fakhrul Akmal Mohamad Nakdin (tekong), Muhammad Amirul Syahmi Sulaiman Khan (apit kanan) dan Muhammad Ikhwan Daniel Azman (apit kiri), memunggut mata pertama dengan menewaskan Regu A Perlis yang diwakili Muhammad Amer Rusyairi (tekong), Muhammad Izham (apit kanan) dan Muhammad Shahril Amin (apit kiri) 2-0 (21-19, 21-9).

Perlis melalui Regu B yang diwakili Muhammad Harith Aiman (tekong), Muhammad Shahril Aiman (apit kanan) dan Wan Nor Hanif (apit kiri) bangkit melawan dengan mengalahkan regu Pulau Pinang yang diketuai Mohamad Syahril Mohd Rosdi (tekong), Muhammad Nor Azatullah Aiman (apit kanan) dan Muhammad Zaki Jamil (apit kiri) 2-1 (10-21, 21-17, 21-19) untuk mengheret kepada regu penentuan.

Bagaimanapun, Regu C Pulau Pinang yang diwakili Muhammad Syamier Roslan (tekong), Muhammad  Syazwan Muhammad Al Fadzilah (apit kanan) dan Muhammad Danial Hafiz Abd. Hadziaidi mengesahkan kejuaraan milik pasukan Pulau Mutiara apabila menang 2-0 (21-13, 21-13) dalam masa 35 minit.

Pengurus pasukan, Syed Roslan Syed Khalid, menyifatkan disiplin yang tinggi menjadi faktor utama kejayaan Pulau Pinang meraih kejuaraan B-15 MSSM tiga tahun berturut-turut.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan disiplin permainan yang baik sepanjang kejohanan. Tahniah juga kepada Perlis yang memberikan cabaran sukar kepada kami.

“Alhamdulillah, kejuaraan kali ketiga dan menjadi motivasi terbaik dalam acara regu pula,” katanya.

Terdahulu,Perak sekadar berpuas hati di tempat ketiga apabila mengatasi cabaran hebat Selangor dengan kemenangan 2-1.


Keputusan penuh B-15
Johan: Pulau Pinang
Naib Johan: Perlis
Ketiga: Perak
Keempat: Selangor

Advertisement

Must Watch Video