Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur dengan keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk memperkenalkan sistem kiraan baru 15 mata bermula Februari tahun hadapan.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata PSM terpaksa menerima ketetapan ISTAF ini, cuma berharap ISTAF dapat mempertimbangkan beberapa cadangan daripada PSM.

"Kiraan baru 15 mata ini adalah keputusan ISTAF, jadi PSM perlu ikut, tidak timbul soal terpaksa atau tidak.

"Cuma PSM ada membangkitkan beberapa perkara kepada ISTAF agar dapat dipertimbangkan," kata Sumali pada sidang media selepas wacana PSM-ISTAF di Putra World Trade Centre (PWTC), pada Sabtu.

Sistem 15 mata ini bakal menggantikan sistem 21 mata yang digunakan ketika ini. Ia mungkin menjadikan permainan lebih pantas dan menarik.




Pada majlis yang sama, ISTAF secara rasmi menerima semula keahliaan PSM dengan Sumali dilantik sebagai Naib Presiden 1, badan induk itu.