Skip to main content

Sukan Lain

PSAS: Subahan harap Malaysia raih kemenangan ke atas England

hokimalaysia_1.jpg
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menyeru barisan pemain negara supaya menggempur habis-habisan kubu England dalam pertemuan terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 malam ini dalam mencari tiket ke final.

Amanat itu disampaikan Subahan ketika sesi makan malam bersama pasukan, malam tadi.

Biarpun rekod perlawanan lalu tidak memihak kepada skuad kebangsaan, namun Subahan percaya strategi yang direncanakan pengendali negara, Stephen Van Huizen, mampu untuk mencipta kejutan ke atas pasukan ranking ketujuh dunia itu.

Untuk rekod, Malaysia tewas kepada England dengan jurang besar ketika bertembung dua kali dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di London Jun lalu, apabila tewas 3-7 di peringkat kumpulan, dan kemudian 1-4 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

"Pemain-pemain telah memberikan yang terbaik. Dengan menggunakan taktikal serta strategi yang diberikan oleh Stephen Van Huizen, saya yakin Malaysia mampu meraih kemenangan ke atas England," kata Subahan.

Sementara itu, Subahan juga menyambut baik cadangan yang diutarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Tayyap Ikram, dalam membangunkan sukan hoki dalam dewan.

Malaysia sedia menerima perubahan untuk memastikan kecemerlangan hoki negara setanding dengan kuasa dunia lain, namun Subahan tetap mahu memastikan keutamaan diberi kepada hoki padang,
antaranya menjadikan skuad lelaki berada dalam ranking 10 terbaik dunia manakala skuad wanita di ranking ke-15 dunia sebelum melaksanakan dasar tersebut.

Advertisement

Must Watch Video