Skip to main content

Advertisement

Hoki

PSAS: Oltmans tidak rela anak buah remehkan cabaran Poland

roelant-oltmans.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menggesa barisan pemainnya supaya membuang sikap terlalu yakin untuk membenam Poland dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 tatkala wakil Eropah itu mempunyai tempoh rehat kurang dua hari sebelum aksi pembukaan esok.

Malaysia memiliki banyak kelebihan untuk berdepan Poland di Ipoh, Perak. 

Tuan rumah sudah biasa dengan cuaca panas, termasuk menjalani kem latihan pusat di Kuantan, Pahang, selain mengadakan dua aksi persahabatan untuk membuktikan Malaysia lebih bersedia bagi aksi pembukaan.

Poland pula baru tiba awal pagi tadi yang secara tidak langsung menyaksikan pemain tidak cukup rehat.

Namun, ia bukan tiket untuk memandang rendah lawan walaupun pernah membelasah pasukan di ranking ke-21 dunia itu 8-0 dalam final pusingan kedua Liga Dunia 2015 di Singapura.

"Saya pasti Poland sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan esok memandangkan mereka sebuah pasukan yang cukup profesional biarpun tiba lewat.

"Dari satu sudut, mungkin ia kelihatan tidak bagus buat mereka tetapi saya pasti Poland sudah membuat persiapan rapi," ujar Oltmans. 

Sementara itu, ketua pasukan kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim, berkata: "Kami sudah memperkemaskan taktikal dan kemahiran kami dalam kem latihan pusat di Kuantan sebelum ini. 

"Kami mahu memulakan kejohanan ini dengan langkah kanan."

Poland pula bermain psikologi walaupun masih segar dengan kejayaan menjuarai Siri Hoki Terbuka di Gniezno, September tahun lalu.

"Kami menempuhi perjalanan selama 48 jam untuk ke sini dan kami sampai jam 3 pagi tadi.

"Cuaca di sini sangat menarik (berseloroh) tetapi bagi saya, ia tidak begitu sesuai untuk perlawanan hoki. 

"Bagaimanapun, kami sudah membuat persiapan," kata jurulatih Poland, Karol Sniezek. 
 

Advertisement

Must Watch Video