Skip to main content

Sukan Lain

Program Podium turun elaun, gugurkan atlet gagal capai KPI

fatehah.jpg
Ratu berbasikal trek , Fatehah Mustapa, dan penerjun, Ooi Tze Liang, merupakan antara 16 atlet turun pangkat Program Podium ekoran gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI), sekali gus menjadi amaran kepada nama-nama lain yang menikmati kemudahan program itu. 

Tindakan tegas terpaksa diambil terhadap atlet yang gagal mencapai KPI dan selain Fatehah sertaTze Liang yang diturunkan elaun, seramai 22 nama digugurkan daripada Program Podium.

Kebanyakan dalam kumpulan yang digugurkan ialah atlet acara berpasukan mengikut proses pemilihan atlet.

"Ada dua. Pertama melibatkan fasa transisi yang diturunkan tangga elaun dan ada juga yang digugurkan daripada Program Podium.

"Buat atlet yang digugurkan, kami telah memberi tempoh agak panjang dan memantau prestasi mereka. Ia lebih setahun dan dalam masa sama, kami juga cuba membantu," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini kali pertama Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian bersidang bagi tahun 2019 dan seramai 620 atlet, termasuk atlet para, terpilih membarisi Program Podium untuk tempoh enam bulan berikutnya.

Dalam senarai itu, seramai 16 atlet menikmati kenaikan elaun selepas melebihi KPI ditetapkan.

"Semua keputusan yang kami lakukan diraih menerusi persetujuan bersama melibatkan wakil-wakil atlet dan dalam masa sama, kami telah membawa masuk lebih 200 atlet muda agar mereka diberi tempat serta bersaing secara sihat dengan atlet berpengalaman," tambahnya.

Sementara itu, atlet yang menikmati kenaikan elaun menganggap ia pembakar semangat untuk meraih kejayaan lebih besar.

Ada yang menikmati kenaikan sehingga RM1,500, menjadikan elaun latihan mereka mencecah RM3,500.

"Bagi saya, kenaikan elaun ini dapat menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk ke Filipina nanti," kata pemain hoki dalam dewan negara, Shello Silverius.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh bagi mendapatkan ranking tinggi dunia dan Komanwel serta mata kelayakan Olimpik," tambah atlet angkat berat negara, Erry Hidayat.
 

Advertisement

Must Watch Video