Skip to main content

Sukan SEA

Ping Pong: Kesilapan jerat Sock Khim

ng-sock-khim-210817.jpg
Hasrat atlet ping pong negara, Ng Sock Khim, untuk meraih pingat dalam acara perseorangan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak kesampaian apabila cabarannya tersekat di peringkat kumpulan, petang tadi. 

Sock Khim, yang memenangi perak dalam edisi 2015 di Singapura, menyimpan impian untuk mengulangi pencapaian berkenaan di laman sendiri kali ini. 

Apatah lagi, temasya KL2017 merupakan yang terakhir buat dirinya. 

Dia bermula baik dengan kemenangan ke atas pemain Filipina, Rose Jean Fadol, dalam aksi pertama Kumpulan X.

Format pertandingan yang menyaksikan hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati, sekaligus menyaksikan atlet dari Kedah itu memerlukan satu lagi kemenangan. 

Namun, ketika berdepan Nanthana Komwong dari Thailand, dia terpaksa akur dengan kekalahan 3-1. 

"Dalam set ketiga, saya mendahului dengan jurang besar tetapi pada penghujung permainan, saya membuat kesilapan.

"Kalau saya menang set terakhir itu, mungkin keadaan tidak akan sama," ujar Sock Khim.

Turut terkandas, seorang lagi wakil negara dalam kategori wanita, iaitu Lee Rou You. 

Kategori lelaki turut menyaksikan kisah serupa menimpa Muhd Shakirin Ibrahim dan Leong Chee Feng. 

Peluang terbaik diraih Chee Feng, namun dalam aksi terakhir Kumpulan B, dia gagal mengatasi pemenang perak edisi 2015, Richard Gonzales dari Filipina. 

"Tahap serangan saya tinggi tetapi corak bertahan menyukarkan saya," katanya.

Jurulatih negara, Beh Lee Wei, bagaimanapun kekal optimis kemampuan anak didiknya akan lebih menyerlah dalam acara berpasukan nanti. 

"Sock Khim telah menghadiahkan kemenangan kepada lawannya, bagaimanapun dia telah memberikan aksi terbaik.

"Selama setengah tahun ini, dia masih dalam pemulihan daripada kecederaan.

"Perjuangan kami belum habis, sasaran utama kami adalah dalam acara berpasukan," kata Lee Wei.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video