Skip to main content

Hoki

Piala TNB: SSTMI, Anderson ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki.jpg
Kejayaan SSTMI Thunderbolt, Anderson Thunderbolt, AHP-MSP Thunderbolt dan SSMS Resilient menewaskan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir Piala TNB 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini menyaksikan mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

SSTMI Thunderbolt mara selepas tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan mereka, SSTMI Junior, 5-1 sementara Anderson Thunderbolt diikat 2-2 oleh MBPJ Tigers sebelum menang 3-1 dalam penentuan shoot-out.

AHP-MSP Thunderbolt pula tidak diberi laluan mudah oleh SMKDBL-UNIKL-PHJ-MSNJ dan mereka dipaksa untuk kembali bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk mencatatkan kemenangan 3-2 bagi memastikan tempat dalam separuh akhir. 

Satu lagi pertemuan menyaksikan kemenangan 3-1 yang dicatatkan oleh SSMS Resilient ke atas BJSS Thunderbolt, yang sekali lagi meranapkan impian lawan untuk meneruskan kemaraan.

Pengendali Anderson Thunderbolt, Mohd Nizam Mohd Hashim, bersyukur kerana setiap perancangan yang diatur diikuti dengan baik oleh barisan pemainnya selain mereka berjaya mengekalkan fokus sehingga tamat perlawanan.

“Saya bersyukur kerana pemain mengikuti perancangan yang telah kami atur, cuma pemain sedikit terganggu dengan perubahan cuaca yang pada mulanya hujan kemudian panas terik, jadi mereka kelihatan sedikit letih dalam separuh masa kedua.

“Bagaimanapun, pemain kekal fokus dengan apa yang telah kami rancang dan memenangi penentuan shoot-out untuk kami layak.

“Untuk aksi separuh akhir, kami akan bertemu SSTMI Thunderbolt dan saya jangkakan ia satu perlawanan yang hebat di mana kami akan bermain format timbal balik.

“Apabila bermain aksi timbal balik, pemain perlu bermain dengan bijak dan saya yakin pemain saya akan memberikan satu tentangan hebat dan tidak mustahil untuk kami melakukan kejutan di peringkat separuh akhir dan seterusnya mara ke perlawanan akhir,” jelasnya.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung pada Selasa ini dan bekalan jaringan gol akan menjadi kelebihan kepada setiap pasukan untuk dibawa ke aksi kedua yang akan berlangsung pada1 Ogos.

Advertisement

Must Watch Video