MALAYSIA 2 NEW ZEALAND 3
Skuad hoki negara menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024 di tempat keempat selepas tewas 2-3 kepada New Zealand dalam aksi penentuan tempat ketiga di Ipoh sebentar tadi.
Membawa reputasi juara bertahan dan kemenangan 6-4 dalam perlawanan peringkat round-robin, skuad negara sepatutnya tiada masalah menumbangkan lawan berkenaan tetapi aksi di atas lapangan mencerminkan sebaliknya.
Bahkan, Malaysia mendahului sejak minit ketiga hasil jaringan padang Azrai Aizad Abu Kamal tetapi selepas itu, The Speedy Tigers berdepan waktu sukar yang panjang.
Scott Cosslett hanya memerlukan dua minit untuk memastikan New Zealand mengikat kedudukan dengan gol pukulan sudut penaltinya sebelum Jonty Elmes meletakkan pasukan itu di depan hasil jaringan padang pada minit ke-10.
Kegagalan Azrai Aizad menyempurnakan pukulan penalti dalam suku ketiga mengundang padah buat skuad negara apabila New Zealand menambah satu lagi jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Dane Lett pada minit ke-48.
Penyerang senior, Fitri Saari, merapatkan jurang dengan gol padangnya pada penghujung aksi tetapi ia belum cukup untuk melakar kebangkitan skuad negara, sekali gus terpaksa akur menamatkan kempen di tempat keempat.
Muzaffar Musa
Sat May 11 2024