Skip to main content

Hoki

Piala Remaja Asia: Young Tigers perlu manfaat kelemahan Pakistan

malaysia-piala-remaja-asia-vs-oman.jpg
Skuad hoki remaja negara dituntut memanfaatkan kelemahan dimiliki pasukan pilihan, Pakistan, apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam perlawanan separuh akhir Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman awal pagi esok.

Malah, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim, percaya keputusan positif mampu dijelmakan sekiranya skuad mudanya lebih fokus dan berdisiplin berbanding ketika berdepan Oman.

"Ya, Pakistan sememangnya semua sedia maklum antara pasukan yang kuat dalam kejohanan ini apatah lagi ia pasukan utama mereka.

"Malah, mereka beraksi dengan baik sepanjang aksi Kumpulan B dan hanya seri berdepan juara Kumpulan A, India.

"Sejujurnya ini merupakan antara perkara yang harus kami berikan tumpuan menjelang aksi separuh akhir. Mereka memiliki kekuatan daripada segi penyudah bahagian serangan menerusi serangan balas dan pukulan sudut penalti.

"Namun, di barisan pertahanan, mereka agak sedikit lemah dan kami akan gunakan peluang untuk melakukan serangan balas," katanya.

Young Tigers kendalian Muhamad Amin akan berdepan skuad muda kuasa hoki Asia itu selepas mengesahkan kemaraan selaku juara Kumpulan B setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Oman, 1-0 awal pagi semalam.

Mesin gol Young Tigers, Shahmie Irfan Suhaimi, muncul wira pasukan apabila menyempurnakan pukul sudut penalti pada minit ke-48 bagi gol keenam peribadinya sepanjang kempen berkenaan.

Mengulas kemenangan tipis ke atas Oman, Muhammad Amin berkata: "Alhamdulillah, kami berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah empat perlawanan peringkat kumpulan.

"Biarpun satu pencapaian agak baik, terdapat segelintir pemain yang mengambil sikap sambil lewa daripada segi persembahan menentang Oman.

"Sikap sambil lewa ini perlu dibuang jauh apabila berdepan pasukan pilihan, Pakistan, di peringkat separuh akhir nanti."

Biarpun mengakui Oman, yang berstatus tuan rumah, tampil berbeza daripada perlawanan sebelumnya, Muhamad Amin sedikit kecewa apabila pemainnya kurang mengekalkan tahap disiplin tinggi.

"Ya, sememangnya Oman beraksi lebih agresif dan dapat membaca corak permainan kami, namun secara keseluruhan, pasukan kami jauh lebih baik daripada mereka.

“Saya amat berharap ini merupakan satu perlawanan terburuk terakhir Young Tigers dalam kejohanan ini dan pemain akan kembali bangkit seperti dalam tiga perlawanan awal apabila berdepan Pakistan dalam separuh akhir.

“Pemain perlu kembali konsisten seperti ketika berdepan Uzbekistan, Bangladesh dan Korea Selatan, dengan tidak terbawa-bawa persembahan menentang Oman apabila melayan Pakistan," katanya lagi.



Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video