Regu pertama skuad sepak takraw Malaysia bangkit meraih mata pertama dalam perlawanan akhir acara berpasukan Piala Dunia ISTAF, sebentar tadi.
Ahmad Jais Baharun mengubah percaturan ketika bertemu Thailand apabila menurunkan regu utama yang terdiri daripada Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Nor Azlan Alias.
Mendapatkan suntikan semangat sorakan padu di Stadium Titiwangsa, Malaysia memulakan langkah kanan dengan mendahului 3-2 dan mendapati ketinggalan 3-8.
Walaupun Malaysia cuba memberi tentangan lewat set pertama itu, Thailand meneruskan kelebihan mereka dengan 15-9.
Bahang di stadium makin hangat, lebih-lebih lagi aksi di tengah padang. Malaysia tidak berpeluk tubuh sahaja apabila menguasai set kedua, tetapi mereka perlu situasi mendebarkan sebelum menyudahkan set kedua 15-11.
Malaysia mencari jalan sukar dalam set penentuan itu dengan membenarkan Thailand mendahului 3-8.
Tetapi kekuatan mental pemain kebangsaan jelas berada di tahap berbeza dengan mengikat kedudukan 9-9.
Kedua-dua pasukan kemudian hanya bersilih satu mata, malah pasukan Gajah Perang itu jugalah yang terlebih dahulu memungut 13-11.
Situasi yang mencetuskan resah dalam kalangan penyokong tempatan itu tidak sedikit pun membuatkan barisan negara goyah untuk kembali mengimbangi kedudukan 13-13 melalui servis Syakir dan rejaman daripada Nor Azlan.
Dan servis mengelirukan Syakir jugalah memerangkap Siriwat Sakha untuk mengakhiri cabaran regu pertama Thailand itu 15-13.
Shaiful Shamsudin
Sun May 26 2024