BERITA SUKAN AM
Perubahan MOM telah bermula, kata Beng Choo
Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, menegaskan beliau sudah membuktikan kredibilitinya sepanjang dua tahun lalu dan berharap persatuan sukan kebangsaan terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk membawa perubahan positif dalam badan induk itu.
Bersandarkan rekod baik dan perubahan positif yang dibawa, ia menjadi modal untuk Beng Choo mengharapkan undian berpihak kepadanya dalam pemilihan MOM pada 5 Mei ini.
Beliau bakal dicabar oleh Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib untuk jawatan setiausaha agung.
Iklan
Sepanjang memegang jawatan itu bagi penggal 2015-2017, Beng Choo dan ahli exco berjaya menubuhkan struktur pengurusan MOM yang disifatkan lebih efisien.
"Saya baru menjadi setiausaha selama dua tahun ini dan perubahan telah bermula walaupun ia bukan perkara mudah.
"Kamu harus memahami bahawa bukan senang untuk melakukan perubahan. Pelbagai perkara baru akan diwujudkan dan tentunya keputusan tidak akan diraih dalam tempoh masa yang pendek," katanya.
Selain itu, Beng Choo juga menyangkal dakwaan bahawa MOM dikawal hanya 'seorang individu' sehingga berjaya mempengaruhi pemilihan atlet ke temasya besar.
Menurutnya, setiap keputusan dibuat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) di samping dihadiri wakil persatuan sukan kebangsaan.
Beliau juga bersikap terbuka dengan manifesto calon lawan yang berazam mahu menukar lokasi ibu pejabat MOM di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur ke lokasi baru.
"Apa sahaja cadangan yang bagus, kami akan melihat kebaikan dan keburukannya. Kami juga harus sentiasa bersikap terbuka dan perlu bersikap adil serta berpandangan luas," tambahnya.
Berusia 60 tahun, Beng Choo juga pernah bergelar atlet dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Malaya.
Antara jawatan penting disandangnya ialah presiden Konfederasi Softbol Asia dan setiausaha agung Persekutuan Sofbol Antarabangsa.
Must-Watch Video