SUKAN LAIN
Penembak negara diharap perbaiki pencapaian di Abu Dhabi
Jurulatih pasukan menembak kebangsaan, Baharuddin Hashim, mengharapkan aksi di tempat sendiri menjadi motivasi terbaik untuk skuad negara mengatasi pencapaian terbaik di Abu Dhabi dalam Kejohanan Menembak Universiti Dunia empat tahun lalu.
Malaysia berjaya membawa pulang satu gangsa menerusi acara 50 meter air pistol berpasukan lelaki yang menampilkan Johnathan Wong, Jasmi Mohd Zain dan Eddy Chew di Abu Dhabi.
Beraksi di pentas sendiri, tuah diharapkan lebih memihak Malaysia, dengan kelibat Eddy Chew dan Lufti Othman sebagai wakil harapan untuk membantu pasukan dalam tiga disiplin utama, iaitu rifle, pistol dan shotgun.
Iklan
"Walaupun ini adalah kejohanan bertaraf universiti, atlet yang bertanding adalah bertaraf dunia dan persaingan yang amat sengit," kata Baharuddin.
Bagi kapten pasukan, Eddy Chew, penganjuran pertama kali Malaysia di peringkat dunia memberikan semangat yang luar biasa.
Eddy gagal menyumbang sebarang pingat buat negara dalam saingan Sukan SEA, namun berjanji untuk mencetak kejutan dalam kejohanan besar ini.
"Ini adalah peluang terbaik buat Malaysia kerana tidak pernah menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa. Selepas sekian lama tidak beraksi di peringkat ini, ia dilihat sebagai peluang buat saya untuk menempa nama buat negara," kata Eddy.
Wakil 24 negara dengan menghimpunkan 300 penembak bertaraf dunia bakal berentap di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang bermula 14 hingga 18 Mac ini.
Must-Watch Video